30 JUN : Rundingan pembahagian kerusi AMANAH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka dapat dimuktamadkan pada minggu hadapan.
Ini termasuklah kerusi milik BERSATU yang pernah menjadi rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari berkata, buat masa ini pihaknya sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat jawatankuasa AMANAH bersama PH.
Malah, perundingan dalam pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional juga boleh dikatakan sudah selesai.
“Namun, pada waktu ini hanya tinggal adalah perundingan pembahagian kerusi di peringkat Presiden dalam PH jadi saya rasa mungkin dalam minggu hadapan, ia akan dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau yang juga Bendahari PH dan Pengerusi PH Melaka berkata, setakat ini, AMANAH sendiri sudah memuktamadkan lebih 90 peratus kerusinya di beberapa negeri yang akan menghadapi PRN ini.
“Lebih 90 peratus kerusi kita (AMANAH) yang sudah dimuktamadkan cuma tinggal antara satu hingga dua kerusi di beberapa buah negeri yang masih dalam perundingan PH dan BN.
“Secara umumnya, Kelantan dan Terengganu sudah selesai pembahagian cuma Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan masih ada beberapa kerusi yang dalam pertimbangan kita mengikut strategi yang dilakukan untuk dirundingkan lagi.
“Apa pun, perundingan antara PH dan BN ini pastinya tidak akan mewujudkan pertindihan kerusi kerana saya sendiri pernah terbabit dengan perundingan kerusi dalam PH antara AMANAH dengan BERSATU dahulu.
“Jadi, perundingan dengan BN kali ini dilihat lebih mudah dengan semangat perpaduan dalam kerjasama kita dengan BN kerana misi utama kita adalah untuk membina kerajaan yang stabil,” katanya.