1 JUL : Kementerian Pengangkutan bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran khas untuk kenderaan elektrik (EV).
Ia bertujuan bagi membezakan kenderaan berkenaan dengan dengan kenderaan biasa.
Menterinya, Anthony Loke berkata, EV dengan nombor plat berbeza itu penting kerana ia perlu dikenal pasti atas faktor keselamatan dan memudahkan kerja penyelamatan jika berlaku sesuatu insiden.
“Daripada aspek keselamatan, sekiranya berlaku kemalangan cara pengendalian kereta terbabit memang berlainan daripada yang lain.
“Umpamanya jika berlaku kebakaran, ia tidak boleh sembur air sahaja. Bomba ada prosedur operasi standard (SOP) mereka sendiri,” katanya
Anthony berkata, pasukan penyelamat terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sukar membezakan sesebuah kenderaan itu EV atau biasa hanya berdasarkan rupanya.
“Kita mahu perkenalkan nombor pendaftaran ini supaya ia dapat dibezakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula struktur pencukaian untuk EV memandangkan cukainya lebih mahal berbanding kenderaan biasa.
“Pada ketika ini mengikut kaedah akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memang ada formula pengiraan untuk EV yang menggunakan pengiraan mengikut watt.
“Jadi, daripada segi pengiraan itu, untuk EV pada ketika ini memang lebih mahal daripada kereta biasa yang menggunakan CC (kapasiti enjin),” katanya.
Beliau berkata, cadangan untuk melihat semula pengiraan kadar cukai EV itu bagi menggalakkan penggunaan kenderaan berkenaan di negara ini meskipun cukai jalan dikecualikan sehingga 2025.
“Itu cadangan kita (kementerian) untuk menggalakkan penggunaan EV. Walaupun pada ketika ini cukai jalan tidakpun dikenakan,” katanya.