3 JUL: Lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih pada semalam, dikenal pasti.
Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, dua mayat tragedi itu ditemukan iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, masing-masing dijumpai kira-kira 12.45 tengahari dan 5 petang.
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, malam tadi.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang semalam (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media malam tadi.
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Hanyan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, bomba dan angkatan pertahanan awam malaysia telah dihentikan pada 6 petang semalam atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.