3 JUL: Semua ahli parti perlu menerima keputusan Majlis Presiden berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Majlis Presiden dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN minggu ini.
“Kita sudah pun bertemu di peringkat Majlis Presiden, terpulang kepada keputusannya (pembahagian kerusi) dalam masa dua, tiga hari lagi kita akan dapat tahu, dia (keputusan) itu adalah kata putus.
“Apabila Majlis Presiden sudah putuskan saya harap semua pihak di peringkat negeri akur dengan keputusan yang dibuat, kalau tidak tak ada kesudahannya dan nanti kalau tak akur dan tak memperakukannya nanti akan ada perasaan tak puas hati, kita tak dapat mengurus pilihan raya dengan baik. Yang penting kita nak menang,” katanya.
Mohamad berkata demikian selepas perjumpaan bersama Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Pulau Pinang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan PRN, Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan jentera pilihan raya UMNO-BN dan berharap semua jentera akan terus menggembleng tenaga sejurus kempen PRN bermula kelak.
“Kita blok PH-BN memang kita telah pun di peringkat Pusat telah ada kita punya jentera, peringkat negeri telah diarahkan untuk kita adakan penyelarasan gerak kerja jentera pilihan raya negeri dan gerak kerja akan dilancarkan tidak lama lagi dan dari situ nanti kita akan turun ke bawah tetapi walaupun belum dilancarkan gerak kerja penyelarasan pilihan raya PH-BN memang telah ada dan bermula,” katanya lagi.
Katanya, beliau yakin PH dan BN akan mampu menangkis apa jua cabaran dan gelombang yang bakal diwujudkan pihak lawan.