3 JUL : Sebanyak 1,286 saman dikeluarkan dalam Op Khas Motosikal Sempena Hari Raya Aidiladha sejak Selasa lalu.
Saman itu dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dimana Timbalan Pengarahnya, Erick Jusiang berkata, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh merupakan dua kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi yang berlangsung dari 27 dan 28 Jun serta 1 dan 2 Julai itu.
“Kesalahan tidak mempunyai lesen memandu melibatkan sebanyak 535 saman dan cukai jalan tamat tempoh pula sebanyak 237 saman.
Lain-lain kesalahan pula antaranya melibatkan tiada insurans (204), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (115) dan tiada cermin sisi (58),” katanya.
Beliau menasihati orang ramai agar memastikan cukai jalan kenderaan mereka sentiasa diperbaharui walaupun kerajaan kini tidak mewajibkan ia dipamerkan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan seperti sita.
Erick juga berkata dalam operasi yang turut disertai oleh Jabatan Imigresen itu, seramai 70 warga asing berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Warga asing yang ditahan melibatkan 59 lelaki serta 11 wanita dan mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi proses dokumentasi,” katanya.