4 JUL : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah sama ada yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) atau mana-mana pejabat imigresen di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ini kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai, sekali gus tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jabatan ini sentiasa berhubung,berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, JIM juga komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pelawat asing yang memasuki Malaysia.
“Jadi, jika terdapat pegawai imigresen yang didapati bersalah, kami tidak akan melindungi pegawai tersebut serta akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.