5 JUL : Nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara akan diserahkan sendiri oleh menteri kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Pada sidang media sebentar tadi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pegawai terbabit dikenal pasti selepas dia menerima aduan yang dibuat secara terus kepadanya.
“Hari ini saya akan serahkan nama kepada Tan Sri Azam (Baki) untuk bantu beliau buat siasatan seterusnya,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu Jabatan Imigresen (Imigresen) dan JPN sedang disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.
Katanya, dia menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran.
Ditanya jika tindakan dalaman telah diambil terhadap pegawai berkenaan, Saifuddin berkata, lebih banyak maklumat akan didedahkan selepas nama mereka diserahkan.