6 JUL: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) kekal 3.00 peratus.
Ia selepas MPC membuat keputusan luar jangkaan pada Mei dengan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Katanya, MPC akan terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.
BNM berkata, ekonomi global terus berkembang didorong keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Bagaimanapun katanya, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi.
“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.