6 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput semua anak muda di negeri Kedah untuk bersama beliau dalam program sesi dialog Temu Anwar pada Sabtu ini di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Jemputan itu dibuat menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
Katanya, beliau dalam program tersebut mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan mahupun soalan yang ingin dikemukakan sebagai penambahbaikan dan perkongsian bersama Dewan Muadzam Shah, UUM pada pukul 12.30 tengah hari.
“Saya ingin menjemput anak-anak muda negeri Kedah untuk turut sama dalam sesi ini dan bertanya soalan kepada saya serta memberi pandangan atau teguran membina kepada kerajaan. Kita jumpa Sabtu ini!,” kata Anwar.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang temuanwar.com
Temu Anwar adalah program dialog anak muda bersiri bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama anak muda mengutarakan persoalan secara langsung kepada Perdana Menteri.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas, Temu Anwar telah diadakan di beberapa negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan dan Negeri Sembilan.