7 JUL : Sebanyak 153,813 unit kenderaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) telah dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama 2023.
Angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian positif turut menunjukkan Bezza menjadi model terlaris PERODUA setakat tahun ini dengan jumlah yang didaftarkan antara Januari dan Jun adalah sebanyak 40,555 unit, diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Perodua Axia sebanyak 28,199 unit.
“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zainal Abidin berkata, PERODUA berada di landasan yang tepat untuk memenuhi sasaran pengeluaran dan jualan masing-masing sebanyak 330,000 dan 314,000 unit yang ditetapkan tahun ini, hasil langkah pengeluar kereta kompak itu yang akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.
“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” tambahnya.
Bagi perbandingan suku ke suku, PERODUA mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023, meningkat sebanyak 1.0 pewratus daripada 68,316 unit yang dihasilkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Zainal Abidin berkata, prestasi pengeluaran PERODUA pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Pada suku kedua 2023, PERODUA merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Kami menjangkakan pengeluaran dan jualan kami akan terus meningkat pada masa akan datang berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh.
“Sebagai contoh, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.
“Walaupun begitu, kami masih teguh dengan sasaran kami, dan kami berterima kasih kepada pelanggan yang dihargai atas sokongan dan kesabaran mereka. Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami.
“Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan pelanggan kami yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.