144,911 lepasan SPM ditawar ke IPTA
8 JUL : Sejumlah 144,911 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Daripada jumlah itu, seramai 79,668 calon telah ditawarkan di universiti awam, manakala seramai 65,243 calon ditawarkan di Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang menawarkan program pengajian berfokuskan TVET.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut berkata, seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan telah berjaya mendapat tawaran dengan kadar kejayaan lelaki adalah 61.7 peratus berbanding perempuan 60.4 peratus.
Menurutnya, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak, tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Prinsip meritokrasi tersebut adalah berasaskan pencapaian akademik (90%) dan pencapaian kokurikulum (10%).
Kejayaan mendapat tempat adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian, perakuan temuduga dan/atau ujian bagi yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan.
Katanya, sebanyak 500 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda.
“Hanya calon yang mengemukakan permohonan UPUOnline® di https://upu.mohe.gov.my/ sahaja telah dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
KPT menambah, jumlah permohonan UPUOnline® yang diterima bagi lepasan SPM adalah sebanyak 239,609 berbanding 237,161 pada sesi lepas dengan jumlah kenaikan sebanyak 2,448 (1.03%).
Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 14,619 dengan pecahan tawaran iaitu 13,649 bagi Kategori B40, 346 Orang Kurang Upaya (OKU), 335 Atlet dan 289 Orang Asli. Selain itu, seramai 26 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran.
Calon Melayu, Anak Negeri Sabah, Anak Negeri Sarawak dan orang asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6%) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.
Manakala calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran adalah 5,477 (52.4%) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang dan kaum India dan lain-lain, bilangan calon yang mendapat tawaran adalah 8,615 (46.5%) daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525.
“Terdapat juga calon yang tidak mendapat tawaran kerana tidak memenuhi syarat am dan/atau syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya untuk program kompetitif, gagal dalam saringan temu duga/ujian bagi program pengajian yang menetapkan syarat demikian, atau kedudukan merit rendah.
Seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon UPUOnline® atas beberapa faktor seperti telah mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi BMKPM, IPGM, Tingkatan 6, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan luar negara atau mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.
“Kementerian mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” tambahnya.
Dalam pada itu, KPT kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari sahaja mulai 07 Julai 2023, jam 12 tengah hari hingga 16 Julai 2023, jam 5 petang.