8 JUL : Barisan Nasional (BN) memberi jaminan yang parti itu akan mengemukakan ramai calon baharu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Jaminan itu disuarakan sendiri oleh pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dimana calon baharu itu adalah simbolik kepada semangat baharu yang ditunjukkan BN buat pertama kali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Apa yang penting pada 12 Ogos depan, kita akan membuktikan manifesto kita di enam negeri dan untuk BN, Insya-Allah kita akan kemukakan calon-calon muka baharu.
“Ia sebagai tanda semangat baharu daripada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Laman Niaga Komuniti, malam tadi.
Mengenai keputusan MCA dan MIC yang menyatakan hasrat tidak bertanding pada PRN, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua parti berkenaan akan kekal menyokong calon Kerajaan Perpaduan di enam negeri.
“Walaupun MCA dan MIC tidak mahu mengemukakan calon, saya tetap hormat.
“Namun saya juga hormat kepemimpinan parti itu yang akan tetap bersama BN dan menyokong calon di enam negeri,” katanya.