10 JUL : Sekurang-kurangnya hampir 15 terbunuh setakat ini berikutan bencana banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun yang melanda utara India.
New Delhi menerima hujan terbanyak dalam beberapa dekad kebelakangan ini, menurut laporan media yang memetik pihak berkuasa.
Berikutan kejadian itu, jalan-jalan di beberapa bahagian ibu negara tenggelam sehingga paras lutut.
Bencana alam itu turut membawa hujan sebanyak 153mm, iaitu jumlah curahan hujan tertinggi direkodkan dalam sehari pada bulan Julai dalam tempoh 40 tahun terakhir.
Dengan jangkaan hujan lebat sekurang-kurangnya satu hari lagi, pihak berkuasa memerintahkan penutupan sekolah di New Delhi pada Isnin.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan pada Ahad, seramai 15 orang terbunuh dalam masa 24 jam terakhir di enam negeri utara India.
Menurut pegawai pengurusan bencana kepada AFP, Omkar Sharma, negeri-negeri di pergunungan terjejas teruk dengan enam kematian dilaporkan di Himachal Pradesh, ekoran kejadian tanah runtuh yang turut menghalang lebih kurang 700 jalan.
Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan lebih banyak akan turun di sebahagian besar utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.
Data rasmi menunjukkan, hujan musim monsun di seluruh negara pada minggu pertama Julai menghasilkan kira-kira dua peratus lebih banyak curahan hujan berbandiang biasa.