10 JUL : Kerajaan mengumumkan dana RM10 juta untuk dimanfaatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan (YBGK).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana itu diberikan sebagai menghargai usaha yang dijalankan YBGK yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu, untuk memberi akses dalam prosiding jenayah.
“Sejak penubuhan YBGK sejak 12 tahun lalu, ia menyaksikan ratusan ribu orang diwakili dalam prosiding jenayah dan akses kepada keadilan di negara ini dipertingkatkan.
“YBGK juga menjadi penyedia bantuan guaman terbesar negara dan kerajaan sendiri mengiktiraf peranannya.
“Sewaktu saya berada di ‘Sungai Buloh’, saya sendiri melihat ramai banduan yang diberikan peluang untuk dibicarakan,” katanya pada ucaptama Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa, hari ini.
Anwar dalam masa yang sama turut berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf hak asasi semua pihak untuk menuntut keadilan, termasuk peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam.
“Dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, ia tidak boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip sedemikian tidak boleh direalisasi sekiranya orang di jalanan tidak sumber ekonomi yang mampu untuk mendapatkan akses keadilan.
“Dalam hal ini, saya memuji usaha gigih Majlis Peguam dalam menyediakan bantuan guaman, melalui skim yang ditubuhkan sejak lebih 40 tahun lalu.
“Kerajaan mengiktiraf akses terhadap keadilan adalah hak asasi dan saya bersedia untuk memberi pertimbangan serius kepada Majlis Peguam dalam perkara ini,” katanya.