10 JUL : UMNO dijangka meletakkan calon di 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kerusi
yang menjadi tumpuan adalah di kawasan 60 peratus majoriti Melayu khususnya di kawasan pinggir bandar dan pedalaman.
Katanya, ia sebagai usaha untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam masa yang sama, beliau juga kini dalam permohonan parti itu untuk mendapatkan dua kerusi tambahan iaitu masing-masing satu kerusi dalam kawasan Parlimen Seremban dan Jelebu, dan dijangka keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat.
“Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) negeri ditawarkan 16 kerusi DUN namun membuat permohonan untuk tambahan dua kerusi lagi membolehkan kedudukan sama rata antara BN dan PH.
“Namun kita optimis akan dapat satu atau dua lagi kerusi tambahan walaupun MCA dan MIC sudah menyatakan tidak bertanding pada PRN kali ini,” katanya.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH sebelum ini menguasai 20 manakala bakinya dikuasai BN.
UMNO dijangka meletakkan calon di kerusi DUN Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas, Gemencheh dan Rantau.
Kerusi Jeram Padang yang sebelum ini dimenangi MIC dijangka ditandingi PKR susulan keputusan MIC tidak menyertai PRN manakala UMNO akan diberikan satu kerusi lain sebagai strategi untuk memastikan PH-BN kekal mentadbir.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, beliau yakin ahli dan penyokong UMNO akan kekal menyokong parti itu pada PRN.
“Saya yakin dan percaya, dakwaan bahawa kerjasama antara PH-BN menyebabkan penolakan terhadap UMNO tidak akan berlaku kerana mereka sudah mendapat maklumat mencukupi tentang penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.