12 JUL : Nilai jualan bagi perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus, iaitu berjumlah RM138 bilion pada Mei 2023 berbanding setahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 22 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM17 bilion.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 5.0 peratus atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion, diikuti oleh perdagangan borong yang meningkat 4.4 peratus atau RM2.6 bilion untuk berada pada RM62.2 bilion.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.5 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing 16.2 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.
Bagi prestasi mengikut subsektor, DOSM berkata pertumbuhan dua angka 22 peratus dalam kenderaan bermotor pada bulan Mei didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 29.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion.
Katanya, ini diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaran & pembaikan kenderaan bermotor masing-masing naik 17.7 peratus dan 20.4 peratus.
“Walau bagaimanapun, jualan, penyelenggaran & pembaikan motosikal menurun 5.0 peratus. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini melonjak sebanyak 16.2 peratus disumbangkan oleh semua kumpulan dalam subsektor ini terutamanya kualan kenderaan bermotor dengan 30.8 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, DOSM berkata kenaikan 5.0 peratus pada Mei 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang bertumbuh 8.4 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM22.5 bilion.
Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (6.0 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (10 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (6.0 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (2.5 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (6.0 peratus).
“Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun 2.7 peratus dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan negatif,” katanya.
DOSM turut memaklumkan bahawa peningkatan 4.4 peratus dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang meningkat RM1.1 bilion atau 9.6 peratus kepada RM12.3 bilion.
Bagi jualan runcit melalui internet, indeks ini merekodkan -0.8 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023 berbanding 4.1 peratus pada April 2023.
Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menguncup 5.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Manakala indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Mei 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.6 peratus.
DOSM turut memaklumkan bahawa pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.8 peratus), perdagangan borong (5.3 peratus) dan perdagangan runcit (2.4 peratus).