12 JUL : Kebajikan dan faedah pemandu bas akan ditambah baik dalam usaha menarik lebih ramai orang menyertai bidang itu.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, ia bagi memastikan terdapat pemandu bas mencukupi di pasaran.
“Selain itu, Prasarana akan mengadakan jerayawara untuk merekrut lebih ramai pemandu bas dan kami berharap lebih ramai akan tampil mendapatkan pekerjaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon berhubung Kesatuan Pekerja Pengangkutan menggesa kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan pemandu bas dengan mengatasi masalah seperti kos operasi tinggi, hasil rendah dan persaingan sengit menyukarkan pengusaha bas mengambil pemandu.
Berhubung keputusan kerajaan menggubal dasar membasmi budaya Ali Baba yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi, katanya, terdapat pendekatan dan dasar perlu dirangka.
Beliau berkata, ia perlu bagi memastikan sumber dan peruntukan kerajaan digunakan untuk tujuan itu dibelanjakan dengan baik dan nilainya dimanfaatkan sepenuhnya.
“Itu yang berlegar dalam fikiran kami dan agenda paling penting untuk mematahkan elemen rent-seeking (dan pada masa sama) memastikan nilai untuk wang, sesuatu yang kami mahu laksanakan bagi memastikan peruntukan sumber lebih baik.”
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata, kerajaan dalam tindakan merangka Dasar Anti-Ali Baba (rent-seeking) yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi.
Katanya, anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, pelesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.