12 JUL : Mana-mana pihak yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan tidak lagi boleh dibiarkan.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan akan memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang cuba bertindak melampau dengan memainkan isu 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja).
Jelas Anwar, Majlis Raja-Raja turut menggesa kerajaan agar negara ini diselamatkan daripada kelompok yang terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup menimbulkan hura-hara.
Katanya lagi, negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil yang sangat terdesak dengan membuat apa sahaja hanya untuk mempertahankan kuasa dan mencari pengaruh baharu.
“Ini maknanya amaran terakhir daripada kerajaan sebab selaku Perdana Menteri, saya tiada pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk mempertahankan negara, ini mengatasi kepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam tadi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata terdapat segelintir pihak yang merasakan kedudukan mereka terlalu tinggi dan hebat, sehingga tidak boleh didakwa atau dicabar.
“Negara tidak boleh begitu… Kita tak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan.
“Kalau begini pandangannya, ia akan merosakkan (negara). Saya anggap keadaan sudah sampai serius kerana puluhan tahun kita nampak dan lihat kenyataan-kenyataan yang melampau dan dibiarkan,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang mengambil tindakan mengikut perundangan tanpa mengira pangkat atau kaum.
“Setakat ini yang saya dimaklumkan oleh pihak MCMC dan PDRM, tanpa kecuali pantau semua.
“Kalau pelampau itu Melayu, atau berpangkat tinggi sekalipun, atau Cina dan India, itu bukan persoalan. Kalau langgar peraturan undang-undang (tindakan akan diambil),” ujarnya.