13 JUL : Seramai 5.8 juta rakyat dalam kalangan M40 ke bawah layak menerima subsidi minyak masak, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.
Jelasnya, ia berikutan pelaksanaan rasionalisasi itu pada tahun depan.
Katanya, daripada jumlah itu juga, seramai 1 juta penerima subsidi minyak masak terdiri dalam kalangan penjaja makanan.
Menurutnya, usaha itu berjalan lancar dan ia dijangka dapat diselesaikan selepas pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel.
“Kita dalam proses mengumpul data terperinci untuk pelaksanaan subsidi minyak masak,” katanya.
Fuziah turut berkata, maklumat data bagi mengenal pasti penerima layak diperoleh daripada Pangkalan Data Utama (PADU).
Jelas beliau, kementeriannya berusaha mencari mekanisme terbaik agar rakyat dan penjaja makanan yang memerlukan dapat menikmati subsidi berkenaan.
Tambahnya, pada masa ini, penjaja makanan tidak termasuk dalam kalangan penerima subsidi minyak masak, namun kerajaan sedar mereka juga memerlukan bantuan kerajaan.
“Mereka ini akan dimasukkan dalam kumpulan sasar dan perlu berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).
“Hanya penjaja makanan sahaja dibenarkan manakala pengusaha restoran tidak layak mendapatkan minyak masak subsidi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan, kementeriannya menerima sebanyak 29, 262 aduan kepenggunaan menerusi Program Aduan Suri.
“Kita menerima sebanyak 8,847 aduan transaksi dalam talian diikuti sebanyak 7,259 aduan berkaitan harga barangan.
“Selangor negeri tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 8,374 aduan dan sejumlah 98 peratus daripada aduan telah selesai dan diambil tindakan,” jelasnya.