13 JUL : Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 7 Julai lalu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jasmine Loo, hadir ke IPD Dang Wangi ditemani peguamnya sebelum ditahan dan direman bermula Sabtu lalu.
Menurut beliau, siasatan ke atas Jasmine Loo dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait siasatan ke atasnya.
“Kita masih menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan yang sekiranya memerlukan Jasmine Loo sebagai saksi atau tertuduh terutama dengan pihak SPRM.
“Kita juga akan menyemak dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sekiranya Jasmine Loo dikehendaki (sebagai saksi atau tertuduh),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan seorang lagi sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.