13 JUL : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah telah menyerbu sebuah stor di Bukit Kayu Hitam, disyaki menjadi tempat transit penyelewengan minyak diesel.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi Ops Tiris yang dilakukan pada jam 10 malam itu adalah berdasarkan sumber risikan KPDN Putrajaya.
“Malah, hasil pemeriksaan yang dilakukan menemui empat unit IBC tangki yang berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran sebanyak 3,800 liter, satu unit IBC tangki kosong, dua unit Skid Tank dan peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM28,170,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Affendi berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan yang kedua pula boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” katanya
Affendi berkata, KPDN Kedah ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang- undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).
“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya lagi, orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui portal
e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my
atau Call Centre 1-800-886-800 serta E-mel e-aduan@kpdn.gov.my dan Aplikasi EZ ADU KPDN.
Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui pusat arahan penguat kuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau melalui WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.