15 JUL : Undang-undang anti Ali Baba akan diperkenalkan kerajaan sebagai langkah pengharaman budaya itu dalam sektor ekonomi negara.
Menegaskan perkara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia susulan kerugian yang dialami negara, sekitar RM17 bilion hingga RM18 bilion kerana amalan tersebut.
Katanya, ini kerana terdapat perniagaan yang dimiliki oleh rakyat tempatan tetapi disewakan kepada warga asing selain pembinaan projek menjadi mahal ekoran ada pihak yang mengambil persen.
“Bina projek sepatutnya harga murah tapi sebaliknya berlaku. Cerita pasal budaya Ali Baba dalam ekonomi kita memang macam-macam.
“Kita kena hentikan amalan ini kerana ia boleh menjadi punca kepada rasuah dan ketirisan. Sebab itu, pandangan saya menangani budaya Ali Baba perlukan penyelesaian menyeluruh dan berstruktur,” katanya.
Tambah beliau, menghapuskan budaya Ali Baba dalam sektor ekonomi tidak boleh sekadar cakap kosong tetapi perlu ada tindakan segera.
“Oleh itu, harapan saya dengan kerangka undang-undang ini, kita dapat selesaikan salah satu ketempangan utama ekonomi negara,” jelasnya.