15 JUL: Pelaburan Tesla Inc dan SpaceX ke Malaysia bakal melengkapkan ekosistem teknologi terkini di rantau ini.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pelaburan syarikat diterajui Elon Musk itu bukan pelaburan bersifat konvensional sebaliknya melibatkan teknologi terkini yang mampan.
“Saya melihat pertemuan (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Elon Musk) secara maya ini satu berita positif kerana kita memang sentiasa mengalu-alukan pelaburan dari syarikat luar.
“Apa yang membuatkan ianya lebih kritikal atau sesuai untuk Malaysia adalah kerana pelaburan ini bukan bersifat konvensional atau menjanjikan pembinaan kilang tapi pelaburan bersifat teknologi terkini dan mampan yang memungkinkan pemindahan pengetahuan, kemahiran yang meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mampu menarik pelaburan berprofil tinggi seperti Tesla dan SpaceX yang diterajui Elon Musk,” katanya kepada BBC Portal..
Semalam, Anwar mengumumkan Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini dan mewujudkan ibu pejabat di Cyberjaya selepas beliau dan Elon Musk mengadakan pertemuan secara maya.
Anwar berkata, dua lagi syarikat milik hartawan berkenaan iaitu syarikat aeroangkasa, SpaceX dan Stalink yang juga penyedia internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan SpaceX juga bercadang jadikan Malaysia sebagai hab syarikat berkenaan.
Ahmad Razman Abdul Latiff
Mengulas lanjut, Razman melihat penyertaan syarikat berteknologi tinggi itu ke Malaysia bukan ruang untuk negara bersaing dengan negara lain.
“Saya melihat ini akan melengkap satu ekosistem teknologi tinggi di Asian. Kalau kita lihat Tesla sudah buka kilang di Indonesia tetapi itu adalah satu komponen perniagaannya sementara di Malaysia pula kita memfokus kepada teknologi tertentu seperti ‘autonomus driving’.
“Kita lebih ke arah penghasilan perisian…penghasilan software rather than hardware’. Ini memang akan melibatkan pekerja yang berkemahiran. Yang nampak jelas di sini bukan bermakna kita akan bersaing dengan negara seperti Vietnam dan Indonesia tetapi lebih kepada melengkap ekosistem industri itu. Di situ saya melihat impaknya positif kerana ianya menunjukkan setiap negara ada kelebihan masing-masing, ia ada menyumbang ekosistem atau industri sebegitu,” katanya.
Beliau turut menjangkakan pelaburan SpaceX akan membuka rantaian bekalan yang lebih menyeluruh untuk bidang aeroangkasa di negara ini yang diceburi ratusan syarikat tempatan.
“Banyak inisiatif yang menjurus ke arah teknologi aeroangkasa. Kita ada beratus syarikat tempatan yang memainkan peranan penting dari segi pembekalan komponen melibatkan penerbangan dan aero angkasa.
“Oleh itu penglibatan SpaceX itu akan membuka rantaian bekalan yang lebih menyeluruh yang akan mampu dipenuhi oleh syarikat tempatan. Ia bertepatan dengan tujuan kita untuk mencebur bidang yang jarang mana-mana negara masuk iaitu bidang aeroangkasa dan juga telekomunikasi,” katanya.
Tambahnya, “kalau kita melihat pasaran Asean, Starlink ini masih belum lagi mendominasi, di situ kita lihat ada potensi jadi rakan startegik kepada Starlink untuk meluaskan liputan dan perkhidmatan bukan saja di peringkat domestik tapi di rantau Asean yang memberi kita kelebihan.” Oleh NUR EISYA