Sanusi mohon mohon maaf pada Sultan Selangor
15 JUL : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataannya terhadap Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.
Permohonan maafnya itu dibuat menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
Katanya lagi, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.
“Saya sudah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang sengaja diputar belit itu.
“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor sudah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu, semalam.
Bagaimanapun, katanya warkah berkenaan tidak elok molek untuk dimuat naik bagi memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana.
“Berkaitan itu juga, saya sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat PDRM dari Bukit Aman pada jam 2 pagi semalam untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain.
“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih supaya terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya.
Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja.