18 JUL : Sepuluh peratus atau sekitar 135 juta penduduk India berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun hingga Mac 2021.
Laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan India menyatakan bahawa kawasan luar bandar menyaksikan pengurangan paling tinggi dalam garisan kemiskinan negara itu.
Berdasarkan kajian yang menggunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), isu seperti kekurangan zat makanan, pendidikan dan sanitasi menjadi faktor utama menjurus kepada kemiskinan.
Laporan berdasarkan Tinjauan Kesihatan Keluarga Kebangsaan 2019 hingga 2021 mendapati peratusan penduduk yang hidup dalam kemiskinan turun kepada 15 peratus pada tahun berkenaan, manakala 25 peratus direkodkan pada tahun 2015 hingga 2016.
Menurut anggaran UNDP, bilangan penduduk India yang hidup di bawah garis kemiskinan menggunakan AS$2.15 dolar sehari susut kepada 10 peratus di India pada 2021.
Kerajaan India menawarkan makanan bijirin percuma kepada kira-kira 800 juta orang, iaitu kira-kira 57 peratus daripada 1.4 bilion penduduk negara itu.
Beberapa negeri di India turut membelanjakan berbilion dolar bagi pemberian subsidi pendidikan, kesihatan, elektrik dan perkhidmatan lain.
Berdasarkan laporan berkenaan, negeri yang menyaksikan jumlah terbesar keluar daripada kemiskinan ialah Uttar Pradesh yang mempunyai 343 juta penduduk, disusuli negeri Bihar dan Madhya Pradesh