18 JUL : Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 12 kerusi Selangor pada Pilihan Rayaa Negeri ( PRN) kali ini.
Maka dengan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap semua ahli-ahli parti supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan mereka menang nanti.
“Selangor ini kita (UMNO) dah kalah sejak 2008. (PRU) 2008, 2013 kalah. Walau Malaysia (peringkat pusat, kita) menang, Selangor kita kalah.
“Kemudian ini kita nak PRN. Kalau kita tidak mahu memberikan undi kepada rakan kita, parti-parti dalam kerajaan perpaduan bertanding, di tempat-tempat UMNO-BN tak bertanding, apa akan berlaku pada 12 kerusi yang kita memerlukan sokongan mereka?” soalnya.
“Itu kita fikir lebih meluas untuk keseluruhan negeri Selangor,” katanya merujuk kepada rakan BN Pakatan Harapan (PH).
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik mengenai 12 kerusi tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut berkata, PRN kali ini adalah peluang untuk UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, selepas mereka kehilangan negeri itu pada 2008.
Dia juga meminta ahli parti itu untuk tidak lagi takut dengan momokan terhadap DAP. Katanya, Umno juga memerlukan sokongan kaum Cina untuk menang di kerusi yang mereka tandingi dalam pilihan raya.
Majoriti pengundi Cina kini menyokong DAP, tambahnya.
“Kalau kita nak menang 12 kerusi, kita perlu sokongan masyarkat Cina kerana Melayu berpecah. Kita juga perlu sokongan masyarakat India
“Insya-Allah 12 kerusi itu kita boleh menang, dan Umno boleh jadi exco kerajaan negeri
dan kali pertama sejak tidak jadi sebahagian kerajaan Selangor,” katanya.
Selangor mempunyai sejumlah 56 kerusi DUN, dengan Umno hanya memenangi empat kerusi pada pilihan raya umum 2018 iaitu di Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong.