18 JUL: Syarikat pengeluar kenderaan Geely Automobile Holdings Ltd dari China bakal menjadikan Proton City Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu dengan berkata, syarikat tersebut menyatakan minat untuk melabur dengan nilai pelaburan RM40 bilion.
“Ini kali pertama saya nak sebut, Geely yang (kerjasama) dengan Proton dia tulis dekat saya 10 halaman muka surat panjang.
“(Geely) beritahu, dia nak teruskan jadikan Tanjung Malim (sebagai) kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini.
“Dia akan mula dengan AS$10 bilion bermakna RM40 bilion,” jelasnya.
Tambah Anwar, keyakinan Geely untuk melabur di negara ini bukan untuk kepentingannya, sebaliknya membawa manfaat kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan.
“Untuk apa? Untuk saya ambil komisyen? Atau saya ambil hadiah? (Tidak…) untuk menjamin, ribuan anak-anak kita dapat kerja,” katanya lagi.
Selain Geely, Tambah Anwar lagi, syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco turut berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.
“Satu lagi Saudi Aramco syarikat Arab Saudi terbesar minyak dan gas di dunia.
“Amin Nassir, pengerusi eksekutifnya jumpa saya dia maklumkan Aramco sekarang senang dengan dasar kerajaan dan buat keputusan menjadikan Malaysia sebagai hab pusat perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara,” katanya lagi.