18 JUL: Menteri Besar Selangor menegaskan kes melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiada kaitan dengan politik.
Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata, tindakan itu diambil kerana Sanusi menyentuh Institusi Diraja Selangor.
“Pendakwaan terhadap beliau berasaskan kepada kenyataan beliau yang menghina Institusi Diraja Selangor, ini sangat jelas.
“Tiada agenda politik di sebalik pendakwaan itu, kenyataan beliau melampaui batas serta merendah-rendahkan Institusi Diraja Selangor. Laporan itu dari Dewan DiRaja, sebuah institusi berdarjat tinggi yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor sendiri,” ujarnya.
Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Beliau dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.