18 JUL: -Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipertikai banyak pihak terpaksa dilakukan selepas Menteri Besar Kedah itu gagal dikesan di Kedah malah beberapa panggilan telefon juga tidak dilayan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata pihaknya berjaya mengesan Muhammad Sanusi sekitar jam 2.30 pagi semalam di Mont Kiara sebelum akhirnya ditahan.
“Kita minta bantuan daripada Polis Kedah, kita lihat YAB (Muhammad Sanusi) tiada di Kedah. Kita dapat maklumat bahawa beliau akan berada di Astro Awani pada jam 10 malam dan didapati tiada kelihatan kelibat beliau di sana.
“(Muhammad Sanusi) telah pun menolak panggilan telefon untuk kita memaklumkan supaya hadir di Mahkamah Selayang esoknya (hari ini). Kita juga telah membuat panggilan telefon kepada setiausaha sulit dan setiausaha politik dan semua panggilan itu juga di reject. Daripada berita yang keluar semalam, kita dapati beliau belum dimaklumkan, kita nak maklumkan tapi semua panggilan kita di reject.
“Maka disebabkan kita tidak dapat untuk menelefon untuk memaklumkan, kita cuba mencari beliau dan dapat jumpa pada jam 2.30 pagi di kawasan Mont Kiara. Kita pun maklum dan buat tangkapan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Jenayah Gangsterim (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di sebuah hotel sekitar jam 2.30 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak..
Susulan penahanan tersebut dibuat pada waktu yang terlalu lewat malam, ramai pihak yang mempertikaikan tindakan polis itu.
Muhammad Sanusi didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan dan beliau mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.
Menurut Razarudin, sebanyak 58 laporan polis dibuat terhadap Muhammad Sanusi termasuk dari Ahli Dewan Diraja Selangor.
“Dalam ucapan itu terkait Yang Di-Pertuan Agong berkenaan kerajaan perpaduan dan keduanya terkait Sultan Selangor sendiri atas pemilihan Menteri Besar Selangor.
“Kadang-kadang kes ini kita cakap 3R tapi sifat 3R ini kita perlu lihat secara holistik. Yang ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor. Ketidakpuasan hati oleh Ahli Majlis Diraja Selangor itu sendiri yang datang membuat laporan polis.
“Kita nampak darjah siasatan yang akan mendatangkan kebencian dan juga penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja. Kalau kita biar sebegini maksudnya semua raja-raja ini akan dihina,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Muhammad Sanusi juga berdepan satu lagi siasatan yang dilaporkan 14 Julai lalu namun Razarudin enggan mengulas lanjut berkait perkara itu. OLEH NUR EISYA