18 JUL : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebentar tadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada 11 Julai lalu jam 11 malam di simpang empat Taman Selayang Mutiara.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sanusi dalam masa yang sama turut tidak mengaku bersalah untuk pertuduhan kedua atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut di lokasi dan waktu yang sama pada mengikut pertuduhan yang pertama.
Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.