20 JUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vietnam bagi lawatan rasmi dua hari ke negara itu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Vietnam sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas.
Perdana Menteri turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lawatan tersebut amat signifikan kerana tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Semasa lawatan itu juga, terdapat beberapa pertemuan penting antara Anwar dengan kepimpinan utama Vietnam termasuk Presiden Vo Van Thuong, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Ngunyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam Vong Dinh Hue.
Sementara itu, Duta Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai turut berkata, hubungan Vietnam-Malaysia berkembang dengan baik dan masih ada ruang untuk mengembangkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Tan menekankan kepentingan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam dalam temu bual dengan Agensi Berita Vietnam (VNA).
“Saya berharap lawatan ini akan dapat memacu lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, terutamanya dari segi ekonomi kerana terdapat begitu banyak usaha yang boleh dilakukan dan kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk manfaat kedua-dua negara,” kata diplomat itu.
Menurutnya, kerajaan Vietnam telah menunjukkan prestasi yang baik dalam menarik pelaburan langsung asing.
Negara itu melanjutkan visa elektronik (e-visa) pelancong daripada 30 kepada 90 hari mulai 15 Ogos, katanya sambil menegaskan ini adalah contoh usaha kerajaan dalam memikat pelaburan asing.
Begitu juga Malaysia mengalu-alukan pelabur Vietnam sambil menambah bahawa organisasi seperti Vingroup mempunyai keupayaan untuk melebarkan sayapnya ke luar Vietnam.