20 JUL : UMNO Sabah akan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor sebagai medan ujian strategi baharu kempen untuk menghadapi PRN di negeri itu nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memberi fokus dalam isu penggunaan media sosial selain menggunakan cara konvensional yang menjadi budaya UMNO sebelum ini.
UMNO Sabah akan membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dan menjadikannya sebagai medan ujian strategi baharu kempen bagi menghadapi PRN Sabah nanti.
“Hari ini kita lihat cara kempen terutama di kawasan bandar tertumpu kepada media baharu iaitu media sosial. Kalau dulu kena bersemuka tetapi hari ini saya nampak yang perlu diberi penekanan adalah media sosial,” katanya.
Mengenai kempen PRN di Selangor, Bung Moktar berkata UMNO Sabah akan menghantar kira-kira 300 tenaga jentera parti mewakili UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari Sabah bagi membantu gerak kerja kempen PRN calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Selain itu, UMNO Sabah juga akan menghantar beberapa pemimpin tertingginya untuk membantu kempen PRN negeri lain iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Di Selangor sudah tentu tumpuan diberikan kepada orang Sabah yang bekerja dan menjadi pengundi di negeri itu yang dianggarkan ada lebih 10,000 orang.
“Jadi kita akan fokus kepada pengundi Sabah yang mengundi di Selangor dan kemudian kita akan bincang dengan jentera tempatan untuk gerak kerja yang lain,” katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan media baharu atau media sosial adalah antara faktor yang menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada akhir tahun lalu.
Katanya, calon dan parti yang memanfaatkan aliran media baharu didapati mendapat sokongan yang ketara terutama dalam kalangan pengundi muda.
PRN Sabah dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang yang akan berakhir pada 2025.
Baru-baru ini, katanya UMNO Sabah mengadakan gerak kerja mendekati pengundi orang Sabah menerusi program Santai Kaamatan 2023 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri lebih 10,000 anak Sabah yang bekerja di negeri itu.