20 JUL : TikTok berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang di Australia berikutan kegagalannya mengemukakan dokumen kepada jawatankuasa Senat yang menyiasat campur tangan asing melalui media sosial.
Menurut laporan Agensi Anadolu, James Paterson yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata, TikTok gagal menjawab soalan jawatankuasa dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.
“(TikTok) gagal memenuhi tarikh akhir untuk menjawab semua soalan dalam notis siasatan,” kata Paterson.
Jawatankuasa itu sedang menyiasat campur tangan asing di Australia melalui media sosial.
“Saya menjangkakan semua saksi dalam siasatan itu akan segera menjawab soalan yang dikemukakan.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya, jika perlu, terhadap mana-mana saksi yang tidak patuh kepada keputusan Senat,” kata Paterson.
Mereka yang menolak perintah jawatankuasa Senat boleh dikenakan tindakan kerana melakukan penghinaan dan berdepan sama ada didenda atau dipenjara sehingga enam bulan.
Pada April lalu, kerajaan Australia melarang pegawainya daripada menggunakan TikTok pada peranti masing-masing dan tindakan itu disifatkan sebagai `mengecewakan’ oleh pegawai TikTok di Australia.
Australia, negara terakhir dalam `Five Eyes’, sebuah perikatan perisikan yang turut disertai Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang melarang pegawai kerajaan menggunakan aplikasi itu pada peranti rasmi mereka.