21 JUL : Pembentukan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peraturan bagi membentuk tribunal itu sudah dirangka dan kini hanya dalam proses pelantikan ahli panel.
“Sekarang saya tak boleh memberikan butiran terperinci berhubung proses itu sehinggalah panel tribunal itu dilantik.
“Segala proses serta prosedur berhubung pendakwaan dan tindakan akan dijelaskan oleh mereka (ahli panel tribunal) nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di Penview Convention Centre (PCC) Demak, hari ini.
Akta Antigangguan Seksual 2022 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Oktober lalu dan diwartakan 18 Oktober tahun lalu.
Akta itu antara tumpuan utama KPWKM bagi mengekang sebarang bentuk gangguan seksual dalam kalangan masyarakat.
Pada Februari lalu, sebuah pertubuhan wanita, All Women’s Action Society (AWAM) mahu penubuhan serta pelantikan ahli panel tribunal itu disegerakan.
Sementara itu, mengenai isu jurulatih ‘dodgeball’ yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap beberapa murid sebuah sekolah rendah di Petaling Jaya, Nancy berkata, KPWKM belum menerima butiran lanjut mengenainya.
“Kes itu masih dalam siasatan polis dan kami tidak menerima laporan mengenainya,” katanya.