22 JUL: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah selamat menjalani pembedahan susulan pendarahan otak yang berlaku.
Pembedahan dibuat di di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) jam 8.30 pagi tadi.
Setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal, berkata menteri itu yang juga Timbalan Presiden AMANAH kini sedang menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam pengawasan pasukan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Sementara itu, Alor Setar, BERNAMA melaporkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau dimaklumkan pengawal pengiring Salahuddin bahawa menteri itu telah dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke ICU untuk pemantauan.
“Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar 3.30 pagi dari wad kecemasan.
“Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiring beliau sekitar 8 pagi tadi,” katanya.
Mahfuz berkata Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira 10 malam tadi selepas mengadu berasa tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya di sini.
“Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Program beliau juga agak padat semalam, mungkin beliau juga keletihan,” katanya.
Terdahulu, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan jam 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.
Ahli Parlimen Pulai itu kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia.