23 JUL: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.
Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.
Kematian beliau dimaklumkan anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.
Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Datin Seri Fatimah Taha bersama enam anak.