24 JUL: Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu mempertaruhkan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin di kerusi berkenaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 108 daripada 245 kerusi dengan membabitkan enam negeri.
“Dengan mandat yang diamanahkan oleh Pengerusi BN, diumumkan calon bagi kerusi DUN N26 Tanjung Dawai Kedah, Barisan Nasional ialah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
“Saya juga mewakili BN merakamkan penghargaan kepada Pakatan Harapan (PH), atas semangat perpaduan memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Dawai.
“Kepada Allah kita berserah. Mudah-mudahan diberikan kemenangan oleh Allah jua,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.
Pada 21 Julai lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan 108 kerusi akan ditandingi oleh BN.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi hanya mengumumkan 107 calon pada hari berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu, DUN Tanjung Dawai dimenangi oleh calon Pas, Hanif Ghazali dengan 11,444 undi menewaskan calon PH, Annuar Abdul Hamid dan calon BN, Annuar Ahmad.