PDRM nafi ada agenda awal tahan Sanusi
25 JUL:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan terdapat komplot atau rancangan lebih awal untuk menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berdasarkan kenyataan berbaur penghinaan ke atas institusi kesultanan Selangor semasa berceramah.
Katanya lagi, tangkapan dibuat berdasarkan laporan semasa iaitu kronologi kes, sehari selepas insiden berlaku dan laporan seterusnya daripada Ahli Majlis Diraja Selangor pada 14 Julai.
“Oleh itu, tidak timbul isu atau dakwaan konspirasi dan sebagainya kerana PDRM melakukan tangkapan berdasarkan laporan diterima.
“Apabila terdapatnya kenyataan berbaur penghinaan ke atas institusi kesultanan, maka siasatan perlu dilakukan.
“Sesiapa sahaja boleh membuat apa-apa dakwaan tetapi PDRM hanya melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, PDRM memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk pemimpin parti politik agar tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, raja serta kaum dalam apa jua status muat naik di media sosial dan ucapan.
Tegas beliau, sudah banyak amaran diberikan PDRM sebelum ini membabitkan isu 3R, namun perkara itu masih dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.
“Andai kata masih terdapat pihak tertentu atau individu cenderung memainkan isu 3R, tindakan tegas akan diambil oleh PDRM.
“Sekiranya tindakan tegas diambil, jangan buat-buat cerita lain bagi melepaskan diri, semua pihak perlu lebih berhati-hati kerana tindakan yang diambil tidak akan mengira latar belakang siapa pelakunya,” ujarnya.
Sementara itu, Ayob berkata, PDRM telah menghantar kertas siasatan kepada pihak peguam negara membabitkan dua tokoh politik lain iaitu Lim Guan Eng dan Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 Julai lalu.
Kata beliau, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya sekiranya terdapat siasatan yang perlu dilakukan.