25 JUL: Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor akan dibincang 3 Ogos ini dalam satu mesyuarat khas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
“Mesyuarat khas tersebut di mana tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Pulai dan PRK Dewan Negeri Simpang Jeram seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya.
Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dan sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut, katanya.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam Ahad lepas setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Salahuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor semalam.
Ikmalrudin berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai.
Pemakluman rasmi berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN Simpang Jeram juga diterima daripada Speaker Dewan Negeri Johor Mohd Puad Zarkashi pada hari yang sama, katanya.
“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut,” katanya.