26 JUL Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, menjejaki kenaikan semalaman Wall Street dalam persekitaran keyakinan pengguna yang bertambah baik.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.74 mata kepada 1,441.53 daripada 1,436.79 semalam.
Indeks utama dibuka rendah 0.09 mata kepada 1,436.70.
Suasana pasaran turut positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 151 berbanding 139 manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,799 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 183.72 juta unit bernilai RM75.56 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street mengekalkan aliran meningkatnya berikutan peniaga meneliti pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan sementara menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah hari ini.
Di peringkat domestik, katanya FBM KLCI mencatatkan satu lagi hari positif semalam, disebabkan pengumpulan saham mewah.
“Kami percaya ini mungkin berterusan berikutan kepelbagaian portfolio oleh beberapa dana asing yang mungkin telah memulakan operasi yang baik baru-baru ini di rantau ASEAN.
“Oleh itu, kami menjangka indeks akan meneruskan trajektori meningkatnya dan berada dalam julat 1,435 hingga 1,450 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.01, CIMB dan Public Bank, masing-masing meningkat dua sen kepada RM5.45 dan RM4.07, Tenaga Nasional naik satu sen kepada RM9.48 dan Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM6.81.
Daripada saham aktif, Daythree Digital naik 39 sen kepada 69 sen, Hong Seng Consolidated meningkat setengah sen kepada 10 sen dan ES Ceramics Technology menambah dua sen kepada 20.5 sen manakala Tanco Holdings tidak berubah pada 55.5 sen dan UEM Sunrise merosot setengah sen kepada 47 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 26 mata kepada 10,616.56, Indeks FBMT 100 meningkat 26.38 mata kepada 10,302.95, Indeks FBM 70 menokok 3.99 mata kepada 13,988.25 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.33 mata kepada 10,895.65 manakala Indeks FBM ACE merosot 1.40 mata kepada 5,320.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 40.10 mata kepada 16,044.73, Indeks Tenaga meningkat 3.74 mata kepada 833.94, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.43 mata kepada 166.73 dan Indeks Perladangan menokok 22.76 mata kepada 7,220.78.