26 JUL: Kerajaan Filipina dan Malaysia komited dalam usaha membangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.
Ia antara inisiatif dalam memperkasakan hubungan bilateral antara kedua-dua negara berkenaan.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berkata, dalam usaha berkenaan, industri halal, perbankan Islam dan keselamatan makanan antara sektor yang boleh diterokai bersama.
“Malaysia menawarkan kepakarannya untuk melatih pegawai dan kakitangan Filipina bagi memperkasakan lagi kebolehan dalam sektor penting yang semakin berkembang ini.
“Kami juga bersetuju meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain terutama dengan Malaysia menjadi antara negara peneraju dalam ekonomi halal di dunia dan kerjasama ini berupaya memberi faedah serta kebaikan kepada pertumbuhan ekosistem halal masing-masing,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia.
Dalam masa yang sama, Marcos turut bersetuju untuk kedua-dua negara berkenaan menerok lebih banyak sinergi bagi perkongsian masa depan menerusi mesyuarat suruhanjaya bersama yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.
“Kami juga akan meneruskan kerjasama membabitkan perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan yang mana akan ditandatangani dalam tempoh terdekat,” katanya.
Menyedari kepentingan ASEAN, Marcos berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen menyokong aktiviti dalam konteks ASEAN serta Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
“Kami juga bersetuju untuk meneroka bukan sahaja di sepanjang garisan multilateral, malah setiap isu yang didepani di wilayah ini, khususnya mempromosikan hubungan bilateral antara Malaysia dan Filipina serta rakan lain dalam ASEAN.
“Ini adalah aspek penting terutama dalam pelbagai isu didepani ASEAN dan negara anggotanya,” katanya.
Dalam pada itu, Marcos berkata, lawatan rasminya ke negara ini bukan sahaja menunjukkan kepentingan Malaysia sebagai negara jiran, malah memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara terutama menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik rasmi Malaysia-Filipina tahun depan.