26 JUL : UMNO disifatkan sebagai antara parti Melayu terbaik yang pernah ada dalam politik negara.
Perkara itu dijelaskan Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dimana pandangan itu berbeza dengan sebelum ini yang dilihat beliau lantang mengkritik UMNO.
Memetik laporan FMT, katanya lagi Amanah – tidak seperti Bersatu, PAS dan UMNO – tidak mengenakan sebarang sekatan keahlian berdasarkan kaum atau agama.
“Parti Melayu ada tiga yang benar-benar berdiri di atas nama parti Melayu. Antara yang tiga ini, kita lihat yang terbaik adalah UMNO.
“Kerana paling kurang dia (Umno) faham politik itu untuk apa. Mereka telah berjasa, sekian lama,” katanya tanpa menamakan dua lagi parti Melayu itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, difahamkan ia merujuk kepada PAS dan Bersatu.
Khalid pada April lalu, mencetuskan kemarahan penyokong UMNO apabila menggesa Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan bekas presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak.
Susulan kenyataan Khalid itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak berhenti membuat komen ‘tidak wajar’ mengenai usaha parti itu untuk mendapatkan pengampunan buat Najib.
UMNO Kelantan juga berkata ia akan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan rakan sekutunya, Amanah jika Khalid tidak menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.
Khalid kemudiannya memohon maaf dan berkata apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dalam isu itu.