27 JUL: Wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat menjadi induk kepada dasar khusus lain yang akan diumumkan kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudah digerakkan bagi menangani isu segera yang mengesankan rakyat.
Antaranya termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Antara langkah lain lagi adalah menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif yang mana pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk menambah peruntukan, memudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif.
“(Selain itu) ia untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha sudah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung.
“Konsep Payung RAHMAH turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup. Payung RAHMAH diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini. Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut memaklumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.
Katanya, kerangka itu akan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.
“Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti.
“Ini adalah sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini mencakupi isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.
“Juga membabitkan isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat,” katanya.