28 JUL: Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup selama seminggu bermula jam 8 malam ini hingga jam 5 pagi 3 Ogos ini.
Ia bertujuan sempena Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj yang merupakan Tonggak Perpaduan Negara.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan majlis yang akan diadakan pada 2 Ogos itu, adalah program yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023.
“Susulan penutupan tersebut, trafik dari arah Jalan Sultan Hishamuddin akan dilencongkan ke Leboh Pasar Besar, manakala trafik dari arah Jalan Tuanku Abdul Rahman dilencongkan ke Jalan Tun Perak dan Jalan Kinabalu,” menurutnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan menghubungi KL Command & Control Centre (KLCCC) untuk maklumat lanjut di talian 03-8947 4002 /1 800-88-1020.