28 JUL: komitmen DAP dalam mempertahankan empat perkara berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dijelaskan lepada akar umbi dan rakyat oleh jentera parti Barisan Nasional (BN).
Perkara itu disarankan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan berkata, DAP benar-benar ikhlas dalam perkara itu dan UMNO serta BN bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan setelah melihat komitmen parti berkenaan.
Malah katamha, perkara itu perlu dijelaskan sepenuhnya khususnya di kawasan kampung tradisional dan tanah rancangan Felda kerana isu berkaitan komitmen DAP tersebut masih dimainkan oleh pihak lawan.
“Pastikan di Negeri Sembilan dan lima negeri lain isu ini kita mesti jawab untuk kita dapat memberi penjelasan kepada orang lain, kita mesti jelaskan kepada ahli-ahli kita.
“Saya harap kepimpinan UMNO khususnya jangan bimbang, DAP adalah kawan kita, mereka akan melindungi empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Berhubung PRN Negeri Sembilan, beliau memberitahu, jentera UMNO dan BN akan turun padang membantu kemenangan di kesemua 36 kerusi termasuk yang ditandingi oleh PH.
Presiden UMNO itu melihat bahawa kerjasama antara jentera BN dan PH di Negeri Sembilan pada tahap yang terbaik.
“Dalam situasi begitu komitmen daripada semua, iltizam untuk kita memenangkan negeri ini, kita kekalkan balik terus jadi kerajaan di negeri ini.
“Yang penting rakyat di Negeri Sembilan mesti disejahterakan, dimakmurkan,” jelasnya.