28 JUL: Generasi daripada pelbagai struktur dan lapisan masyarakat yang berbeza di Terengganu akan sentiasa disantuni dan diberikan perhatian di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kmenteriannya akan menyediakan insentif dan bantuan yang sewajarnya kepada mereka terutama golongan sasar.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah hari ini.
Katanya, KKDW telah mencerakinkan pelbagai kumpulan sasaran daripada pelbagai struktur dan lapisan masyarakat untuk disantuni kepimpinan Kerajaan Madani seperti dihasratkan Perdana Menteri.
“Perdana Menteri tidak mahu mana-mana golongan ketinggalan, bukan sahaja luar bandar dan dalam bandar, kawasan desa dan pinggir bandar, malah di wilayah Sabah dan Sarawak turut diberikan keutamaan,”.
“Ini bermakna Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) lain daripada yang lain dan kesungguhan beliau amat dihargai oleh rakyat Terengganu,” katanya.
Dr Ahmad Zahid Hamidi
Selain itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan berita gembira dengan mengumumkan beberapa insentif yang bakal diterima oleh setiap golongan masyarakat di negeri itu.
Antaranya, KKDW menyerahkan Bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) menerusi Lembaga
Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kepada 30 orang penerima berjumlah RM252,500.
Bantuan lain membabitkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan sumbangan sebanyak RM12,570,000
melibatkan 515 unit rumah di seluruh Terengganu serta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) berjumlah RM250,000 kepada 60 orang penerima.
Selain itu, MARA menerusi Bantuan Pembiayaan Perniagaan menawarkan pelbagai skim pembiayaan perniagaan bagi membantu usahawan bumiputera untuk membiayai modal pusingan,
pengubahsuaian premis, pembelian alatan dan aset serta belanja mengurus kepada 190 penerima berjumlah RM178 juta,000 sehingga Jun 2023.
Ahmad Zahid berharap insentif itu akan membantu serta meningkatkan taraf ekonomi dengan meyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.
Program Sentuhan Kasih Desa Terengganu telah berlangsung selama tiga hari bermula 27 Julai sehingga 29 Julai.
Penganjuran Setuhan Kasih Desa di Terengganu memberi fokus kepada aktiviti golongan belia dan beliawanis dan wanita sebagai tunjang pemerkasaan dan pengukuhan ekonomi negara. Oleh NURUL HIDAYAH BADRUL