29 JUL: Kemasukan pelaburan asing yang besar seperti syarikat teknologi dan kenderaan elektrik (EV) Tesla Inc membuktikan bahawa negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah stabil serta kukuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur asing memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan bukan kerana nama beliau sebaliknya kerana kestabilan kerajaan yang berjaya diwujudkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“… bila kita (Kerajaan Perpaduan) perintah dan jadi kerajaan stabil, apa yang berlaku? Elon Musk minta nak bercakap dengan saya, Perdana Menteri Malaysia.
“Bukan kerana saya tapi kerana kerajaan ini yang stabil… kebijaksanaan PH dan BN yang memilih untuk bekerjasama demi Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Pada 14 Julai lepas, Anwar berkata Musk, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, bersetuju untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya, Selangor.