29 JUL: Kerajaan negeri perlu sealiran dengan kerajaan Pusat, itu mesej Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi misi merampas DUN Gombak Setia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ini katanya bagi memastikan apa juga agenda Kerajaan Perpaduan di Pusat dapat dinikmati oleh rakyat di peringkat negeri.
Justeru katanya, amat penting bagi BN-Pakatan
Harapan (PH) menang di Selangor demi masa hadapan dan kemakmuran rakyat.
Tegasnya, Selangor perlu kekal di bawah BN-PH bagi memastikan pentadbiran sealiran dengan pusat untuk meneruskan agenda kemakmuran rakyat dan negara.
“ PRN Selangor bukan sekadar pilihan raya tetapi penentu kepada masa depan dan hala tuju negeri serta kemakmuran rakyat.
“Jangan kita rugikan undi terutama anak muda. Jauhkan daripada politik adu domba, kata nista dan fitnah serta politik kebencian tidak sihat di Selangor.
“Kita juga perlu pastikan generasi muda bersama politik positif yang akhirnya boleh membawa keselesaan kepada rakyat Selangor,” katanya.
Megat Zulkarnain Omardin
Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon DUN Gombak Setia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu hari ini.
“Kita tahu kepimpinan ( Datuk Seri ) Amirudin Sahri membawa Selangor kepada satu tahap boleh dibanggakan dan PRN ini penting untuk beri kesejahteraan, kemakmuran dan keselesaan rakyat Selangor,” katanya.
Megat Zulkarnain menghadapi saingan tiga penjuru berdepan penyandang Muhammad Hilman Idham (PN-Bersatu) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi perarakan membawa tiga calon BN-PH ke pusat penamaan calon DUN dalam Parlimen Gombak itu.
Selain Megat Zulkarnain, calon lain adalah Amirudin yang akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua serta Juwairiya Zulkefli calon DUN Hulu Klang. Oleh AHMAD ZUBAIR