29 JUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini hadir di kawasan Gombak memberi sokongan kepada tiga calon blok kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).
Tiga calon tersebut adalah Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli bagi merebut kerusi Hulu Klang dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi kerusi DUN Gombak Setia.
Turut mengiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, Ketua Menteri Sabah Dstuk Seri Hajiji Nor serta kepemimpinan tinggi parti PKR dan UMNO.
Pimpinan berkenaan kesemuanya berarak bersama calon dan penyokong ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.
Amirudin bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau memperoleh majoriti 11,374 undi.
Calon PH itu menang dengan 17,446 undian ketika menentang Datuk N Rawisandran daripada BN yang mendapat 6,072 undi serta dua lagi calon Ustaz Mad China (PAS) dan Badrul Acong (BEBAS).
Parlimen Gombak antara paling mendapat perhatian dalam PRN Selangor berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara nama besar mengesahkan bertanding kerusi Hulu Kelang.
Ini kerana Mohamed Azmin memutuskan tidak mempertahankan kerusi Bukit Antarabangsa untuk beralih ke Hulu Kelang dengan beliau bakal berdepan Juwairiya.
Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Hilman Idham yang bertanding kerusi Gombak Setia turut menjadi tumpuan kerana PRU14 beliau menang atas tiket PH, tetapi meninggalkan PKR menerusi Langkah Sheraton dan kemudian menyertai BERSATU.
Muhammad Hilman yang menang majoriti 12,399 undi menewaskan Megat Zulkarnain yang kini saingannya pada PRN ini.