29 JUL: Seramai 572 calon mewakili pelbagai parti dan individu layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Ia melibatkan negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu kali ini.
Memaklumkan perkara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, daripada 573 kertas penamaan yang diterima melalui 173 Pusat Penamaan Calon (PPC), satu kertas penamaan telah ditolak melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) N09 Kota Lama Kelantan.
Katanya, jumlah calon Perikatan Nasional (PN) ialah seramai 168 orang; Pakatan Harapan (PH) (138); Barisan Nasional (BN) (108): Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (19); Parti Rakyat Malaysia (PRM) (13); Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat); Penang Front Party (PFP) (dua); Parti Utama Rakyat (satu) dan Bebas (41).
Beliau berkata, pertembungan satu lawan satu berlaku di 181 kawasan, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (satu).
“Bilangan calon mengikut jantina adalah lelaki 501 orang dan wanita 71. Manakala, umur calon tertua adalah di N36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang, iaitu 80 tahu. Calon paling muda adalah di N19 Bukit Antarabangsa, Selangor, 23 tahun,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beberapa kerusi menjadi tumpuan, antaranya DUN N16 Sungai Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berdepan calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon bebas G. Suman.
Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mempertahankan kerusi DUN Sikamat pada PRN 12 Ogos ini.
Beliau bakal berdepan saingan empat penjuru menentang calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas, Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.